Selasa, 17 Februari 2009

Aktiviti 11-09

ANGKARA DUNIA

30,000 topeng
SAO GONCALO (Brazil):

Dalam banyak-banyak topeng, topeng apa paling laris pada musim ini?

Di sebuah kilang membuat topeng di bandar Sao Goncalo, 75 kilometer dari Rio De Janeiro, topeng Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah topeng hangat pada musim ini.

Biasanya, kilang Condal Carnival itu menjual 30,000 topeng setahun, namun ia telah pun berjaya menjual sebanyak 5,000 topeng Obama ke Eropah dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini.

Obama adalah presiden kulit hitam pertama di Amerika.

Pelantikannya menjadi contoh kepada masyarakat dunia bahawa perubahan sesuatu yang tidak mustahil apabila kita berusaha dengan gigih dan percaya dengan kebolehan diri kita sendiri.

49 rangka manusia
MEXICO CITY (Mexico):

Pakar arkeologi (kaji purba) di Mexico menemui sebuah kubur beramai- ramai yang memuatkan 49 rangka dan tengkorak manusia di kawasan warisan Tlateloco.

Tengkorak itu sebenarnya ditemui secara tidak sengaja apabila para pakar kaji purba itu melakukan kerja-kerja menggali di kawasan tersebut untuk mencari sebuah kompleks istana.

Kesemua 49 rangka tubuh manusia ditemui dalam keadaan berbaring dengan lengan mereka diletakkan secara berpangkah di atas dada masing-masing.

Tlateloco pernah menjadi sebuah pusat agama dan politik yang utama di Mexico dan dibina oleh golongan bangsawan Aztec.

24 tahun
SAN JOSE (Costa Rica):

Beliau dikenali sebagai Pittbull kerana keberaniannya melakukan aksi nekad atau stunt di atas motosikal scrambler.

Keberanian dan cintanya kepada sukan motorcross namun membawa padah apabila Jeremy Lusk, atlit motorcross dari Amerika Syarikat, meninggal dunia minggu lalu selepas tiga hari berada dalam keadaan koma di hospital.

Beliau mengalami kerosakan otak dan kecederaan kepada tulang sarafnya apabila jatuh tersembam ke tanah semasa melakukan aksi nekad di sebuah pertandingan di Costa Rica.

Beliau sedang melakukan sebuah lompatan 'back-flip' semasa berada lebih 30 meter di udara apabila kemalangan itu berlaku.

Jeremy hanya berusia 24 tahun.

Aktiviti 10-09

Apakah faktor yang mendorong perlakuan atau tindakan yang diambil?

PELIK TAPI BENAR

GENEVA (Switzerland):

Seorang pendaki gunung telah berbogel ketika mendaki kawasan pergunungan Appenzell-Innerrhoden, sebuah daerah di Switzerland. Pendaki yang berbuat demikian boleh dikenakan saman AS$200 ($296).

Langkah itu terpaksa diambil oleh pemerintah daerah tersebut ekoran daripada kejadian pendaki bogel yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi di kalangan pelancong Jerman.


BEIJING:

Tiga pegawai polis dan lebih 10 orang awam cedera apabila mereka terlibat dalam satu perbalahan ekoran daripada langkah polis menyekat persembahan satu tarian naga di kawasan bandar Dejiang.

Tarian itu cuba dihentikan polis kerana isu keselamatan, menurut laporan agensi berita Reuters.
Sebenarnya, tarian naga hanya dibenarkan di kawasan perkampungan dan ia merupakan acara tradisi untuk menyambut Festival Tanglung.


LONDON:

Seorang penjual susu berusia 72 tahun dihukum penjara 36 bulan kerana menyeludup dadah untuk 17 pelanggannya di dalam penjara.

Robert Holding didapati bersalah kerana menjual ganja kepada banduan usia lanjut di penjara Burnley apabila dia menghantar susu ke penjara itu.


Peguamnya berkata Robert percaya dia sedang melakukan khidmat kemasyarakatan dengan khidmatnya itu.

Namun, hukuman penjaranya ditunda setahun untuk membolehkan Robert melawat isterinya yang sakit di hospital.


Aktiviti 09-09

Bincangkan implikasi daripada tindakan berikut.

RIBUT API SEMPURNA

Kebakaran besar berpunca daripada cuaca dan faktor lain
OlehNorman Sawi

KEBAKARAN semak adalah sesuatu kejadian alam yang dijangka oleh penduduk di daerah berdekatan kawasan belukar yang kering dan panas. Bencana api di Victoria, Australia, namun memeranjatkan penduduknya dan warga bumi yang lain kerana keluasan kebinasaan yang terjadi.

Setakat ini sekitar 200 penduduknya telah pun disahkan mati dan lagi berpuluh-puluh mengalami kecederaan. Kebakaran pada skalar besar seperti ini disifatkan para saintis sebagai 'ribut api sempurna'.

Antara lain, keadaan cuaca dan faktor lain harus berlaku serentak bagi sesebuah ribut sempurna berlaku. Apakah faktor-faktor yang mewujudkan kebakaran yang 'sempurna' ini?

Kadar kelembapan udara rendah

Suhu di kawasan Australia kebelakangan ini mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Tiupan angin yang kencang yang dirasai di seluruh Victoria pula menimbulkan situasi di mana kandungan kelembapan udaranya menjadi terlalu rendah, menurut pengkaji kebakaran, Encik Andrew Sullivan, dalam satu laporan BBC.

Kemarau berlarutan

Victoria sedang mengalami musim kemarau yang berpanjangan digelar Big Dry. Bahkan, ia adalah kemarau paling buruk pernah dialaminya dalam masa seabad. Para saintis percaya fenomena alam ini berlaku kerana perubahan suhu lautan yang dikenali sebagai Dipole Lautan Hindi (Indian Ocean Dipole). Ia mempunyai kaitan yang kuat dengan perubahan iklim yang sedang dirasai dunia kini.

Tiada sistem back-burning

Back-burning adalah proses mencegah kebakaran dengan memulakan kebakaran kecil-kecilan di kawasan yang mempunyai risiko tinggi terbakar.

Logik kaedah ini adalah untuk mengurangkan bermulanya kebakaran semak-samun dan belukar yang boleh menjadi bahan api.

Kaedah ini tidak disukai beberapa pemerintah negara yang mempunyai risiko tinggi kebakaran semak kerana mereka bimbang kebakaran yang dicetus secara sengaja akan merebak dan gagal dikawal.

Alasan ini mungkin satu punca mengapa back-burning tidak dilakukan di hutan di kawasan tenggara Australia, kata Encik David Packham, pengkaji daripada Kumpulan Pembelajaran Iklim di Universiti Monash.

Tiada sistem amaran kebakaran kebangsaan

Pemerintah Australia telah pun mendedahkan rancangannya menubuhkan sebuah sistem amaran yang akan menghantar SMS kepada penduduk di kawasan terjejas apabila mereka terdedah kepada risiko kebakaran semak yang tinggi.

Sistem ini tidak wujud sebelum ini kerana beberapa masalah, termasuk undang-undang mengawal keperibadian individu dan isu kewangan.

Perbuatan orang

Polis Australia kini percaya bahawa sejumlah daripada kebakaran yang berlaku adalah angkara manusia dan bukan perbuatan alam semata-mata.

Pesuruhjaya Polis Victoria, Christine Nixon, memberitahu wartawan minggu lalu bahawa sebuah kebakaran di Churchill, sekitar 140 kilometer dari Melbourne, dimulakan secara sengaja oleh manusia.

Sekurang-kurangnya 21 individu meninggal dunia dalam kebakaran itu.

CABAR MINDA
Terangkan makna proses 'back-burning'.
Apakah salah satu punca kebakaran belukar berlaku di Victoria, Australia?
Berikan perkataan yang seerti dengan semak.


Selasa, 3 Februari 2009

Aktiviti 08-09

Bagaimana dengan kamu? Siapakah yang menjadi pendorong kejayaan kamu?

'IBU MENTOR SAYA'

'Ibu saya menaruh harapan agar saya menjadi seorang penulis dan saya masih ingat saat saya melihat beliau menaip di bilik depan. Saya sering ke bilik depan... lebih-lebih lagi apabila saya sakit, untuk duduk dan melihat beliau menaip.'

Siapa: Novelis dan pemenang hadiah Pulitzer, John Updike.

Mengapa: Penulis yang popular dengan siri buku Rabbit - Rabbit, Run dan Rabbit Redux - itu meninggal dunia 27 Januari lalu, pada usia 76 tahun. Beliau menghidap penyakit barah paru-paru.
John menerbiatkan sekurang-kurangnya 12 koleksi cerpen dan 25 novel semasa kerjaya menulis selama 50 tahun.

Aktiviti 07-09

Bincangkan sebab dan akibat.

PELIK TAPI BENAR

VENICE (Italy):
Pelancong ke Venice kini boleh membeli 'pas tandas' melalui Internet untuk menggunakan tandas awam di bandar itu sebelum mereka tiba di bandar popular itu.
Jurucakap bandar itu berkata langkah itu adalah untuk mengekang masalah pelawat yang menggunakan longkang dan tempat lain sebagai tandas.
Harganya? Tujuh euro ($13.60) untuk menggunakan tandas 10 kali dalam masa lima hari.

TOKYO (Jepun):
Sebuah balai bomba di ibu kota negara itu hangus dijilat api apabila seorang pegawainya terlupa hendak mematikan dapur gas sebelum meninggalkan balai itu untuk menjawab panggilan kecemasan.
Pegawai bomba itu telah berjanji akan memesan makanan dari kedai selepas insiden itu.

LONDON:
Kebab ayam atau kambing yang anda beli di United Kingdom mempunyai kandungan lemak dan garam yang tinggi dan mungkin mengandungi daging lain, demikian menurut satu kajian pegawai Jabatan Kesihatan bandar itu.
Tinjauan yang melibatkan 494 kebab serata United Kingdom itu mendapati bahawa enam daripadanya mengandungi daging babi, termasuk dua kebab yang dilabel sebagai halal.

TORONTO (Canada):
Mereka terkandas lebih 24 jam di Sungai St Lawrence. Namun, 400 anak kapal dan penumpang kapal persiaran CTMA Vacancier itu berpesta sementara menantikan bantuan keselamatan tiba.
Kapal tersebut tidak dapat meneruskan pelayarannya dari Montreal ke Semenanjung Gaspe kerana dikelilingi bongkah ais yang tebal.
Seorang jurucakap CTMA berkata mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan pemandangan yang indah di kawasan itu telah menenangkan penumpangnya.

-- Reuters.

Aktiviti 06-09

Apakah yang mendorong pekedai untuk melanggar peraturan dan faktor apakah yang menyebabkan para belia berani melakukan kesalahan tersebut?

HADAPI PADAH JUAL ROKOK KEPADA BELIA BAWAH UMUR

KEDAI runcit Cheers di Stesen MRT Choa Chu Kang menghadapi padah menjual rokok kepada belia bawah 18 tahun - lesen menjual tembakaunya digantung enam bulan. Tindakan ke atas kedai runcit milik Cheers Holdings Pte Ltd yang diambil Penguasa Sains Kesihatan (HSA) itu berkuatkuasa dari kelmarin hingga 31 Julai.

Menurut HSA semalam, tindakan tegas itu diambil setelah seorang kakitangan kedai tersebut 'ditangkap' menjual rokok kepada seorang pelanggan berusia bawah 18 tahun pada 10 Disember lalu. Ia bukan kesalahan pertama kedai itu. HSA berkata seorang kakitangan kedai itu pernah ditangkap kerana kesalahan sama.

Bagaimanapun, ia tidak memberi butiran mengenai kesalahan pertama itu.
'Memandangkan seorang kakitangan kedai tersebut telah mengulangi kesalahan menjual produk tembakau kepada belia bawah umur, HSA telah menggantung lesennya selama enam bulan,' ujar penguasa itu.

Dengan kes terbaru itu, yang pertama tahun ini, sebanyak 14 kedai runcit telah dikenakan tindakan digantung lesen menjual tembakau sejak Mac 2006. Di bawah Akta Merokok, mereka yang pertama kali didapati bersalah menjual produk tembakau kepada belia bawah umur boleh didenda sehingga $5,000.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum ialah $10,000. Selain denda, lesen menjual tembakau yang diberi kepada pekedai boleh digantung jika mereka sendiri atau kakitangan mereka didapati salah mengulangi kesalahan tersebut.

'HSA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas bagi mencegah penjualan produk tembakau secara haram kepada golongan belia bawah umur,' ujar HSA lagi.

Penguasa itu menggalak orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan produk tembakau secara haram kepada belia bawah umur supaya menghubungi hotline Unit Pengawalan Tembakau, 6213-8930 atau 6213-8931, pada waktu pejabat.

Aktiviti 05-09

Bincangkan daripada aspek sosial serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan daripada terjebak dalam masalah sedemikian.

HUKUMAN JEL 18 BULAN ATAS LELAKI DALAM KES PENIPUAN LOTERI

SEORANG lelaki Malaysia yang terlibat dalam penipuan loteri menerusi telefon telah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan semalam.

Tan Eng Soon, 29 tahun, mengaku bersalah terhadap dua tuduhan membenarkan akaun simpanan Maybank dan United Overseas Bank (UOB) miliknya digunakan rakan sejenayahnya pada Januari tahun lalu.

Dia juga mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia hilang lima buku bank dan kad ATM pada 24 Mac tahun lalu.

Penolong Pendakwa Raya, Encik Kalidass Murugaiyan, memberitahu mahkamah bahawa sejak Julai 2007, sejumlah besar penduduk di Singapura menerima panggilan daripada seorang yang berpura-pura mengadakan tinjauan telefon.

Mangsa kemudian dijemput menghadiri satu majlis. Beberapa hari kemudian, mangsa dimaklumkan bahawa mereka telah memenangi hadiah dalam cabutan bertuah.

Untuk mendapatkan hadiah, mangsa-mangsa perlu membayar yuran pentadbiran ke dalam akaun bank atau menerusi pengiriman wang.

Setelah membuat 'pembayaran', mangsa-mangsa diminta membuat pembayaran lanjut dengan janji mereka akan memperolehi habuan lebih besar.

Menurut pihak pendakwa, seorang mangsa, Cik Ng Ping Ping, 29 tahun, menerima satu panggilan daripada seorang wanita pada 3 Mac tahun lalu dan diberitahu beliau memenangi $60,000 dalam satu cabutan bertuah.

Pemanggil wanita itu berkata sebelum Cik Ng boleh mendapatkan hadiah tersebut, beliau perlu memindahkan $4,810 ke akaun khusus.

Cik Ng menuruti arahan tersebut dan memindahkan wang itu ke dalam akaun UOB milik Tan. Apabila beliau tidak mendengar berita daripada wanita itu, Cik Ng membuat laporan polis.
Seorang lagi mangsa, Cik Karen Lee Siang Lin, 21 tahun, juga diberitahu beliau memenangi jam Omega berharga $70,000 pada 11 Mac lalu.

Untuk mengubah hadiah itu kepada wang tunai sebanyak $64,000, beliau perlu memindahkan $3,820 ke satu akaun khusus sebagai 'insurans pemindahan'. Mangsa memindahkan wang itu kepada akaun Maybank Tan. Dua lagi tuduhan diambil dalam pertimbangan.

Tan boleh didenda sehingga $500,000 dan/atau dipenjara sehingga tujuh tahun bagi setiap kesalahan. Kerana memberi maklumat palsu, hukumannya ialah penjara sehingga setahun dan/atau denda hingga $5,000.

Khamis, 22 Januari 2009

Aktiviti 04-09

Teliti rakaman video ini dan bincangkan aspek sosial dan ekonomi berdasarkan penilaian kamu sendiri.


Aktiviti 03-09

Teliti petikan di bawah ini. Berikan pendapat kamu tentang khidmat yang diberikan, serta sarankan bagaimana khidmat ini boleh diperluaskan lagi.
PUSTAKA LANCAR KHIDMAT HANTAR BUKU KE RUMAH

'Projek Hantarkan Saya' terbuka kepada golongan kurang upaya
BERGERAK dengan menggunakan kerusi roda amatlah mencabar bagi pesakit distrofi otot (muscular dystrophy) seperti Encik Mohammad Rafi Jurani, apatah lagi berkunjung ke perpustakaan awam berhampiran flatnya di Jurong.

Demi cintanya kepada buku-buku sejarah, beliau tetap ke sana kira-kira dua bulan sekali.
Perjalanan pergi balik dengan menaiki MRT memakan masa hampir sejam dan beliau perlu ditemani adiknya yang turut berkerusi roda dan pembantu rumah mereka itu.
Namun, sejak tahun lalu, Encik Rafi, 27 tahun, tidak perlu lagi bertungkus lumus untuk mendapatkan santapan mindanya.

Ini kerana relawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan menghantar buku-buku yang dipesannya langsung ke rumahnya.
Khidmat tersebut ditawarkan kepada warga kurang upaya di bawah satu program baru iaitu Projek Hantarkan Saya (Deliver Me) yang ditawarkan NLB. Ia dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Eksekutif NLB, Dr N. Varaprasad, di Perpustakaan Daerah Jurong semalam selepas satu ujian perintis yang berjalan lebih setahun.

Ditemui di rumahnya di Jurong West semalam, Encik Rafi yang kini menyumbang tenaga dengan Persatuan Distrofi Otot Singapura (MDAS), mengalu-alukan khidmat baru itu.
'Kalau nak ke perpustakaan, saya perlu buat perancangan dan persediaan teliti sebab saya perlu naik MRT dan ditemani adik dan pembantu rumah. Dengan khidmat baru ini, saya hanya perlu pesan buku-buku yang saya inginkan dan ia akan dihantar langsung ke rumah,' jelas beliau yang mula berkerusi roda sejak berumur lapan tahun.

Menurut lulusan GCE 'A' itu, sebelum memesan buku-buku yang diinginkan, beliau akan melungsur laman web NLB untuk menyemak senarai buku, khususnya dalam bidang sejarah yang sangat digemarinya. Setiap hari Encik Rafi meluangkan waktu selepas sarapan pagi untuk menikmati buku-buku yang dipinjamnya itu.

Sejak dirintis lebih setahun lalu, 53 individu menyertai khidmat 'Hantarkan Saya' yang disokong oleh 79 relawan yang telah membuat 145 penghantaran ke rumah.
Setiap peserta boleh meminjam lapan bahan perpustakaan, termasuk buku dan bahan pandang dengar, selama 10 minggu.

Bahan-bahan yang dipinjamkan itu akan dihantar mengikut jadual penghantaran iaitu dwibulanan.
Projek tersebut disokong beberapa pertubuhan seperti Persatuan Kebajikan Orang-Orang Cacat, MDAS, Maktab Rendah Nanyang dan Jawatankuasa Eksekutif Belia Bishan North.
Penghantaran ke rumah diperbolehkan dengan bantuan para pemandu teksi daripada Kumpulan Kebajikan Cabby Care, ComfortDelgro.

Dr Varaprasad berkata: 'Melalui projek ini kami harap ia dapat menambah kesedaran mengenai keperluan individu kurang upaya dan mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat umum dengan menangani keperluan mereka untuk membaca dan belajar.'

Sesiapa yang berminat menyertai program itu boleh menghubungi NLB di talian 6332-3255.

Aktiviti 02-09

Baca dan kenal pasti punca masalah dan kesan ke atas yang terlibat. Nyatakan juga pengajaran yang kamu perolehi daripada petikan ini.

AYAH DIPERSALAH SEBAGAI PENYEBAB KELUARGA PORAK-PERANDA
Anak-anak dakwa ibu difitnah sebab bapa cemburu akan guru silat

ANAK-ANAK seorang pemandu yang mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang guru silat sehingga memporak-perandakan rumah tangganya menyalahkan ayah mereka sebagai punca masalah tersebut.

Mereka tidak percaya ibu mereka melakukan perbuatan tersebut dan menyifatkan dakwaan ayah mereka itu sebagai fitnah kerana berasa cemburu terhadap guru itu. Sanggahan yang bertujuan 'memperbetul keadaan' itu mereka kirimkan menerusi e-mel kepada Berita Harian sebagai susulan laporan berjudul Mahligai kecai dek isteri 'sangkut' guru silat anak yang disiarkan Isnin lalu.
Dalam laporan itu, ayah mereka, Encik Buang (bukan nama sebenar), menuduh isterinya bermain kayu tiga dengan guru silat anak-anak mereka. Beliau mendakwa anak-anaknya, setelah digertak, memberitahunya mengenai perbuatan curang isteri beliau itu dan mempunyai rakaman video yang menunjukkan isterinya pergi ke sebuah hotel bersama guru berkenaan.

Menyanggah dakwaan itu, anak-anak Encik Buang merintih: 'Kami tidak mungkin akan menyebelahi ibu kami sekiranya beliau sejahat itu dan sanggup hidup susah bersama ibu.
'Tentunya kami akan memilih untuk bersama ayah. Hari ini kami hidup merempat menumpang di rumah saudara tanpa ayah memberikan nafkah kepada kami.

'Dan kejamnya ayah kami, yang tergesa-gesa menjual rumah sebaik sahaja membuat pengaduan kepada mahkamah yang kononnya ibu kami berlaku curang, tanpa mahu memikirkan perlindungan untuk kami adik-beradik yang beliau kata beliau sayangi.'

Berkenaan dakwaan si ibu memberi makanan kepada guru silat tersebut, mereka berkata:
'Bertahun-tahun keluarga kami dan keluarga guru kami hidup seperti keluarga, kami saling bertukar-tukar juadah, dan ayah saya adalah salah seorang yang turut menjamah juadah pemberian keluarga guru saya itu.

'Sebenarnya perkongsian makanan ini bukan sahaja terjadi di antara dua keluarga ini, banyak keluarga lain yang terlibat sama, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa.'
Sambil mempertahankan ibu mereka yang disifatkan makan hati berulam jantung, anak-anak itu berkata: 'Telah lama ibu berdiam diri dengan sikap ayah yang selalu menghina dan memaki hamun beliau.

'Ibu tidak pernah melalaikan tanggungjawabnya tentang pengurusan rumah tangga dan makan minum kami, walaupun dengan peruntukan kecil yang ayah berikan kepada beliau.'
Menurut e-mel anak-anak itu, mereka sedar ayah mereka berubah kerana rasa iri hati terhadap kejayaan guru berkenaan dalam silat dan rasa cemburu tersebut mendorong beliau sengaja cuba memporak-perandakan keluarga guru itu.

'Ditambah pula dengan adanya hasutan daripada rakan-rakan silatnya yang lain yang mempunyai kepentingan untuk menjatuhkan guru kami, tetapi usaha beliau itu akhirnya memporak-perandakan keluarga kami sendiri,' tambah mereka.

Rabu, 21 Januari 2009

Aktiviti 01-09

Para pelajar diharap membaca dengan teliti. Kenal pasti punca persoalan dan kemukakan kritikan/pendapat/penilaian kamu di ruangan ulasan.


DIJEL 3 TAHUN GARA-GARA JADIKAN FLAT TEMPAT AMBIL DADAH

SEORANG lelaki yang dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah tahun lalu setelah kesnya 17 tahun lalu dibicarakan semula, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah - dan kali ini dengan kesalahan baru berkaitan dadah.

Yunani Abdul Hamid, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setelah didakwa membenarkan orang lain menggunakan flatnya di Bukit Panjang untuk mengambil dadah dan Ecstasy pada November lalu.

Awal daripada itu iaitu pada April tahun lalu, Yunani dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah setelah kesnya dibicarakan selama lapan hari atas tuduhan mengedar dadah pada 1992.
Kesnya dibicarakan semula atas arahan Hakim Rayuan V. K. Rajah yang melahirkan rasa ragunya tentang kesalahan Yunani apabila dia membuat rayuan ke atas hukuman selama sembilan tahun penjara dan enam sebatan yang dijatuhkan ke atasnya pada November 2007.

Dalam kes terbaru semalam, mahkamah diberitahu bahawa pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) mengikuti rakan Yunani, Misran Jumaat, 30 tahun, ke flat Yunani di Lompang Road pada 7 November lalu.

Para pegawai CNB menyerbu flat tersebut dan memberkas beberapa penagih dadah di dalam flat itu. Mereka turut memecah masuk bilik yang terkunci dan menemui Yunani, Misran and dua lagi lelaki bersama-sama dengan dadah. Misran dilihat membuang sesuatu ke arah tingkap bilik.
Barang yang dibuang itu ditemui di tempat permainan kanak-kanak. Misran kemudian mengaku bahawa dia membuang dadah miliknya itu.

Yunani dan tujuh lagi suspek termasuk tunangnya, Rohani Tompang, 38 tahun, dibawa ke CNB untuk menjalani ujian air kencing. Ujian air kencing mendapati kesemuanya positif mengambil dadah. Misran kini dipenjara tujuh tahun dan dikenakan 10 sebatan bagi kesalahan mengedar dadah dan kesalahan lain berkaitan dadah. Yang lain pula di hantar ke pusat pemulihan dadah.

Yunani turut merayu kepada Hakim Daerah, Cik Hamidah Ibrahim, agar dia dikenakan hukuman yang ringan kerana dia perlu menjaga dua orang anak dan ibunya yang sakit.
Yunani boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan/atau didenda sehingga $40,000 kerana membenarkan rumahnya digunakan untuk menghisap dadah.

Bagi kesalahan menghisap dadah, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan/atau didenda sehingga $20,000.