Selasa, 3 Februari 2009
Aktiviti 08-09
'IBU MENTOR SAYA'
'Ibu saya menaruh harapan agar saya menjadi seorang penulis dan saya masih ingat saat saya melihat beliau menaip di bilik depan. Saya sering ke bilik depan... lebih-lebih lagi apabila saya sakit, untuk duduk dan melihat beliau menaip.'
Siapa: Novelis dan pemenang hadiah Pulitzer, John Updike.
Mengapa: Penulis yang popular dengan siri buku Rabbit - Rabbit, Run dan Rabbit Redux - itu meninggal dunia 27 Januari lalu, pada usia 76 tahun. Beliau menghidap penyakit barah paru-paru.
John menerbiatkan sekurang-kurangnya 12 koleksi cerpen dan 25 novel semasa kerjaya menulis selama 50 tahun.
Aktiviti 07-09
PELIK TAPI BENAR
VENICE (Italy):
Pelancong ke Venice kini boleh membeli 'pas tandas' melalui Internet untuk menggunakan tandas awam di bandar itu sebelum mereka tiba di bandar popular itu.
Jurucakap bandar itu berkata langkah itu adalah untuk mengekang masalah pelawat yang menggunakan longkang dan tempat lain sebagai tandas.
Harganya? Tujuh euro ($13.60) untuk menggunakan tandas 10 kali dalam masa lima hari.
TOKYO (Jepun):
Sebuah balai bomba di ibu kota negara itu hangus dijilat api apabila seorang pegawainya terlupa hendak mematikan dapur gas sebelum meninggalkan balai itu untuk menjawab panggilan kecemasan.
Pegawai bomba itu telah berjanji akan memesan makanan dari kedai selepas insiden itu.
LONDON:
Kebab ayam atau kambing yang anda beli di United Kingdom mempunyai kandungan lemak dan garam yang tinggi dan mungkin mengandungi daging lain, demikian menurut satu kajian pegawai Jabatan Kesihatan bandar itu.
Tinjauan yang melibatkan 494 kebab serata United Kingdom itu mendapati bahawa enam daripadanya mengandungi daging babi, termasuk dua kebab yang dilabel sebagai halal.
TORONTO (Canada):
Mereka terkandas lebih 24 jam di Sungai St Lawrence. Namun, 400 anak kapal dan penumpang kapal persiaran CTMA Vacancier itu berpesta sementara menantikan bantuan keselamatan tiba.
Kapal tersebut tidak dapat meneruskan pelayarannya dari Montreal ke Semenanjung Gaspe kerana dikelilingi bongkah ais yang tebal.
Seorang jurucakap CTMA berkata mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan pemandangan yang indah di kawasan itu telah menenangkan penumpangnya.
-- Reuters.
Aktiviti 06-09
Apakah yang mendorong pekedai untuk melanggar peraturan dan faktor apakah yang menyebabkan para belia berani melakukan kesalahan tersebut?
HADAPI PADAH JUAL ROKOK KEPADA BELIA BAWAH UMUR
KEDAI runcit Cheers di Stesen MRT Choa Chu Kang menghadapi padah menjual rokok kepada belia bawah 18 tahun - lesen menjual tembakaunya digantung enam bulan. Tindakan ke atas kedai runcit milik Cheers Holdings Pte Ltd yang diambil Penguasa Sains Kesihatan (HSA) itu berkuatkuasa dari kelmarin hingga 31 Julai.
Menurut HSA semalam, tindakan tegas itu diambil setelah seorang kakitangan kedai tersebut 'ditangkap' menjual rokok kepada seorang pelanggan berusia bawah 18 tahun pada 10 Disember lalu. Ia bukan kesalahan pertama kedai itu. HSA berkata seorang kakitangan kedai itu pernah ditangkap kerana kesalahan sama.
Bagaimanapun, ia tidak memberi butiran mengenai kesalahan pertama itu.
'Memandangkan seorang kakitangan kedai tersebut telah mengulangi kesalahan menjual produk tembakau kepada belia bawah umur, HSA telah menggantung lesennya selama enam bulan,' ujar penguasa itu.
Dengan kes terbaru itu, yang pertama tahun ini, sebanyak 14 kedai runcit telah dikenakan tindakan digantung lesen menjual tembakau sejak Mac 2006. Di bawah Akta Merokok, mereka yang pertama kali didapati bersalah menjual produk tembakau kepada belia bawah umur boleh didenda sehingga $5,000.
Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum ialah $10,000. Selain denda, lesen menjual tembakau yang diberi kepada pekedai boleh digantung jika mereka sendiri atau kakitangan mereka didapati salah mengulangi kesalahan tersebut.
'HSA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas bagi mencegah penjualan produk tembakau secara haram kepada golongan belia bawah umur,' ujar HSA lagi.
Penguasa itu menggalak orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan produk tembakau secara haram kepada belia bawah umur supaya menghubungi hotline Unit Pengawalan Tembakau, 6213-8930 atau 6213-8931, pada waktu pejabat.
Aktiviti 05-09
HUKUMAN JEL 18 BULAN ATAS LELAKI DALAM KES PENIPUAN LOTERI
SEORANG lelaki Malaysia yang terlibat dalam penipuan loteri menerusi telefon telah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan semalam.
Tan Eng Soon, 29 tahun, mengaku bersalah terhadap dua tuduhan membenarkan akaun simpanan Maybank dan United Overseas Bank (UOB) miliknya digunakan rakan sejenayahnya pada Januari tahun lalu.
Dia juga mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia hilang lima buku bank dan kad ATM pada 24 Mac tahun lalu.
Penolong Pendakwa Raya, Encik Kalidass Murugaiyan, memberitahu mahkamah bahawa sejak Julai 2007, sejumlah besar penduduk di Singapura menerima panggilan daripada seorang yang berpura-pura mengadakan tinjauan telefon.
Mangsa kemudian dijemput menghadiri satu majlis. Beberapa hari kemudian, mangsa dimaklumkan bahawa mereka telah memenangi hadiah dalam cabutan bertuah.
Untuk mendapatkan hadiah, mangsa-mangsa perlu membayar yuran pentadbiran ke dalam akaun bank atau menerusi pengiriman wang.
Setelah membuat 'pembayaran', mangsa-mangsa diminta membuat pembayaran lanjut dengan janji mereka akan memperolehi habuan lebih besar.
Menurut pihak pendakwa, seorang mangsa, Cik Ng Ping Ping, 29 tahun, menerima satu panggilan daripada seorang wanita pada 3 Mac tahun lalu dan diberitahu beliau memenangi $60,000 dalam satu cabutan bertuah.
Pemanggil wanita itu berkata sebelum Cik Ng boleh mendapatkan hadiah tersebut, beliau perlu memindahkan $4,810 ke akaun khusus.
Cik Ng menuruti arahan tersebut dan memindahkan wang itu ke dalam akaun UOB milik Tan. Apabila beliau tidak mendengar berita daripada wanita itu, Cik Ng membuat laporan polis.
Seorang lagi mangsa, Cik Karen Lee Siang Lin, 21 tahun, juga diberitahu beliau memenangi jam Omega berharga $70,000 pada 11 Mac lalu.
Untuk mengubah hadiah itu kepada wang tunai sebanyak $64,000, beliau perlu memindahkan $3,820 ke satu akaun khusus sebagai 'insurans pemindahan'. Mangsa memindahkan wang itu kepada akaun Maybank Tan. Dua lagi tuduhan diambil dalam pertimbangan.
Tan boleh didenda sehingga $500,000 dan/atau dipenjara sehingga tujuh tahun bagi setiap kesalahan. Kerana memberi maklumat palsu, hukumannya ialah penjara sehingga setahun dan/atau denda hingga $5,000.