Selasa, 17 Februari 2009

Aktiviti 11-09

ANGKARA DUNIA

30,000 topeng
SAO GONCALO (Brazil):

Dalam banyak-banyak topeng, topeng apa paling laris pada musim ini?

Di sebuah kilang membuat topeng di bandar Sao Goncalo, 75 kilometer dari Rio De Janeiro, topeng Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah topeng hangat pada musim ini.

Biasanya, kilang Condal Carnival itu menjual 30,000 topeng setahun, namun ia telah pun berjaya menjual sebanyak 5,000 topeng Obama ke Eropah dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini.

Obama adalah presiden kulit hitam pertama di Amerika.

Pelantikannya menjadi contoh kepada masyarakat dunia bahawa perubahan sesuatu yang tidak mustahil apabila kita berusaha dengan gigih dan percaya dengan kebolehan diri kita sendiri.

49 rangka manusia
MEXICO CITY (Mexico):

Pakar arkeologi (kaji purba) di Mexico menemui sebuah kubur beramai- ramai yang memuatkan 49 rangka dan tengkorak manusia di kawasan warisan Tlateloco.

Tengkorak itu sebenarnya ditemui secara tidak sengaja apabila para pakar kaji purba itu melakukan kerja-kerja menggali di kawasan tersebut untuk mencari sebuah kompleks istana.

Kesemua 49 rangka tubuh manusia ditemui dalam keadaan berbaring dengan lengan mereka diletakkan secara berpangkah di atas dada masing-masing.

Tlateloco pernah menjadi sebuah pusat agama dan politik yang utama di Mexico dan dibina oleh golongan bangsawan Aztec.

24 tahun
SAN JOSE (Costa Rica):

Beliau dikenali sebagai Pittbull kerana keberaniannya melakukan aksi nekad atau stunt di atas motosikal scrambler.

Keberanian dan cintanya kepada sukan motorcross namun membawa padah apabila Jeremy Lusk, atlit motorcross dari Amerika Syarikat, meninggal dunia minggu lalu selepas tiga hari berada dalam keadaan koma di hospital.

Beliau mengalami kerosakan otak dan kecederaan kepada tulang sarafnya apabila jatuh tersembam ke tanah semasa melakukan aksi nekad di sebuah pertandingan di Costa Rica.

Beliau sedang melakukan sebuah lompatan 'back-flip' semasa berada lebih 30 meter di udara apabila kemalangan itu berlaku.

Jeremy hanya berusia 24 tahun.

Aktiviti 10-09

Apakah faktor yang mendorong perlakuan atau tindakan yang diambil?

PELIK TAPI BENAR

GENEVA (Switzerland):

Seorang pendaki gunung telah berbogel ketika mendaki kawasan pergunungan Appenzell-Innerrhoden, sebuah daerah di Switzerland. Pendaki yang berbuat demikian boleh dikenakan saman AS$200 ($296).

Langkah itu terpaksa diambil oleh pemerintah daerah tersebut ekoran daripada kejadian pendaki bogel yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi di kalangan pelancong Jerman.


BEIJING:

Tiga pegawai polis dan lebih 10 orang awam cedera apabila mereka terlibat dalam satu perbalahan ekoran daripada langkah polis menyekat persembahan satu tarian naga di kawasan bandar Dejiang.

Tarian itu cuba dihentikan polis kerana isu keselamatan, menurut laporan agensi berita Reuters.
Sebenarnya, tarian naga hanya dibenarkan di kawasan perkampungan dan ia merupakan acara tradisi untuk menyambut Festival Tanglung.


LONDON:

Seorang penjual susu berusia 72 tahun dihukum penjara 36 bulan kerana menyeludup dadah untuk 17 pelanggannya di dalam penjara.

Robert Holding didapati bersalah kerana menjual ganja kepada banduan usia lanjut di penjara Burnley apabila dia menghantar susu ke penjara itu.


Peguamnya berkata Robert percaya dia sedang melakukan khidmat kemasyarakatan dengan khidmatnya itu.

Namun, hukuman penjaranya ditunda setahun untuk membolehkan Robert melawat isterinya yang sakit di hospital.


Aktiviti 09-09

Bincangkan implikasi daripada tindakan berikut.

RIBUT API SEMPURNA

Kebakaran besar berpunca daripada cuaca dan faktor lain
OlehNorman Sawi

KEBAKARAN semak adalah sesuatu kejadian alam yang dijangka oleh penduduk di daerah berdekatan kawasan belukar yang kering dan panas. Bencana api di Victoria, Australia, namun memeranjatkan penduduknya dan warga bumi yang lain kerana keluasan kebinasaan yang terjadi.

Setakat ini sekitar 200 penduduknya telah pun disahkan mati dan lagi berpuluh-puluh mengalami kecederaan. Kebakaran pada skalar besar seperti ini disifatkan para saintis sebagai 'ribut api sempurna'.

Antara lain, keadaan cuaca dan faktor lain harus berlaku serentak bagi sesebuah ribut sempurna berlaku. Apakah faktor-faktor yang mewujudkan kebakaran yang 'sempurna' ini?

Kadar kelembapan udara rendah

Suhu di kawasan Australia kebelakangan ini mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Tiupan angin yang kencang yang dirasai di seluruh Victoria pula menimbulkan situasi di mana kandungan kelembapan udaranya menjadi terlalu rendah, menurut pengkaji kebakaran, Encik Andrew Sullivan, dalam satu laporan BBC.

Kemarau berlarutan

Victoria sedang mengalami musim kemarau yang berpanjangan digelar Big Dry. Bahkan, ia adalah kemarau paling buruk pernah dialaminya dalam masa seabad. Para saintis percaya fenomena alam ini berlaku kerana perubahan suhu lautan yang dikenali sebagai Dipole Lautan Hindi (Indian Ocean Dipole). Ia mempunyai kaitan yang kuat dengan perubahan iklim yang sedang dirasai dunia kini.

Tiada sistem back-burning

Back-burning adalah proses mencegah kebakaran dengan memulakan kebakaran kecil-kecilan di kawasan yang mempunyai risiko tinggi terbakar.

Logik kaedah ini adalah untuk mengurangkan bermulanya kebakaran semak-samun dan belukar yang boleh menjadi bahan api.

Kaedah ini tidak disukai beberapa pemerintah negara yang mempunyai risiko tinggi kebakaran semak kerana mereka bimbang kebakaran yang dicetus secara sengaja akan merebak dan gagal dikawal.

Alasan ini mungkin satu punca mengapa back-burning tidak dilakukan di hutan di kawasan tenggara Australia, kata Encik David Packham, pengkaji daripada Kumpulan Pembelajaran Iklim di Universiti Monash.

Tiada sistem amaran kebakaran kebangsaan

Pemerintah Australia telah pun mendedahkan rancangannya menubuhkan sebuah sistem amaran yang akan menghantar SMS kepada penduduk di kawasan terjejas apabila mereka terdedah kepada risiko kebakaran semak yang tinggi.

Sistem ini tidak wujud sebelum ini kerana beberapa masalah, termasuk undang-undang mengawal keperibadian individu dan isu kewangan.

Perbuatan orang

Polis Australia kini percaya bahawa sejumlah daripada kebakaran yang berlaku adalah angkara manusia dan bukan perbuatan alam semata-mata.

Pesuruhjaya Polis Victoria, Christine Nixon, memberitahu wartawan minggu lalu bahawa sebuah kebakaran di Churchill, sekitar 140 kilometer dari Melbourne, dimulakan secara sengaja oleh manusia.

Sekurang-kurangnya 21 individu meninggal dunia dalam kebakaran itu.

CABAR MINDA
Terangkan makna proses 'back-burning'.
Apakah salah satu punca kebakaran belukar berlaku di Victoria, Australia?
Berikan perkataan yang seerti dengan semak.